KUALA LUMPUR – Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor mendakwa, anaknya Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin bukan mengalami kecederaan biasa, sebaliknya akibat dipukul dengan objek tumpul.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, membuat anggapan itu berdasarkan kecederaan di bahagian dada dan mata kanan anaknya selain darah tidak berhenti mengalir dari hidung sehingga jenazah dikuburkan.
Wanita itu percaya anaknya dipukul sehingga mengalami kecederaan di bahagian otak dan dada dan hingga kini beliau masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai keputusan bedah siasat kali pertama yang dijalankan pada 29 Julai lalu.
“Saya melihat kesan lebam dan kecederaan pada jasad anak saya terutama di leher, dada yang berdarah dan muka dan mata kanan yang berlebam hitam,” katanya.
Ummu Haiman menyatakan demikian melalui afidavit sokongan yang diikrarkan kelmarin dalam notis usul untuk mendapatkan perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Wanita itu memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau memohon agar perintah penggalian semula jenazah anaknya dikeluarkan dengan segera supaya forensik boleh membuat dapatan yang baik sementara jasadnya masih dalam keadaan sempurna dan terpelihara.
Menurut Ummu Haiman, anaknya disahkan meninggal dunia pada pukul 3.50 petang, 28 Julai lalu namun sebab kematian tidak dapat disahkan dan sebab utama kematian yang dinyatakan adalah sebagai `Pending Laboratory Investigations’.
ARTIKEL BERKAITAN
Beliau berkata, beliau bergegas ke Hospital Kota Tinggi pukul 4 pagi untuk melihat jenazah anaknya.
Ujar Ummu Haiman, setibanya di sana, dia tidak dibenarkan melihat keseluruhan jasad Allahyarham yang mana separuh jasad telah ditutupi oleh kain hospital dan dikawal pegawai di situ.
Wanita itu selanjutnya menyatakan, pada keesokannya (29 Julai) dia dimaklumkan oleh Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bahawa pakar forensik berada di Hospital Pasir Gudang dan bedah siasat hanya akan dilakukan oleh seorang pegawai perubatan gred UD10 sahaja.
“Oleh yang demikian, saya telah memohon agar anak saya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail supaya bedah siasat boleh dilakukan oleh seorang pakar forensik dan bukannya seorang pegawai perubatan.
“Namun begitu, apabila tiba di Hospital Sultan Ismail, saya terkejut apabila melihat pegawai perubatan yang sama (ketika di Hospital Kota Tinggi) berada di sana untuk melakukan bedah siasat tersebut,” ujarnya.
Ummu Haiman turut menyatakan, pihak Hospital Sultan Ismail memaklumkan bahawa laporan bedah siasat anaknya hanya akan tersedia dalam tempoh tiga bulan dari tarikh ia dijalankan tanpa dimaklumkan mengapa laporan tersebut mengambil masa yang lama untuk disediakan.
Sehubungan itu, wanita tersebut menyatakan, laporan polis kemudian dibuat pada 31 Julai lalu di Balai Polis Kajang dan meminta polis menyiasat dengan teliti punca sebenar kematian anaknya yang beliau percaya bukan disebabkan secara semulajadi.
Allahyarham yang merupakan penuntut tahun pertama mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer) dengan kepujian, meninggal dunia pada 28 Julai lalu ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan media pada 13 Ogos lalu berkata, hasil siasatan jawatankuasa siasatan mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan. – MalaysiaGazette
















