KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan sistem perkhidmatan dalam talian baharu, e-Kompaun bagi memudahkan urusan percukaian majikan dan pembayar cukai syarikat.
Menurutnya, e-Kompaun adalah sistem baharu yang boleh diakses oleh majikan dan pembayar cukai syarikat melalui portal MyTax mulai 30 Jun lalu.
Jelas LHDN menerusi kenyataan, platform tersebut membolehkan majikan dan pembayar cukai syarikat menyemak, mengemukakan permohonan serta membuat bayaran kompaun secara kendiri dalam talian bagi kegagalan mematuhi peruntukan di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994.
Ia termasuk kelewatan pembayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) pekerja atau arahan potongan cukai (CP38) pekerja dan kegagalan mematuhi peruntukan di bawah Subseksyen 107C (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 berkaitan kelewatan atau kegagalan mengemukakan anggaran cukai syarikat dalam Borang CP204.
“Berdasarkan prosedur sedia ada, sekiranya kegagalan berkenaan disahkan oleh LHDN, majikan dan pembayar cukai syarikat akan menerima notis bertulis Pemberitahuan Memulakan Tindakan Pendakwaan (PTP) yang dihantar secara pos.
“Majikan dan pembayar cukai syarikat yang ingin memohon membuat penyelesaian melalui kompaun dikehendaki menghubungi atau hadir ke Pejabat LHDN bagi mendapatkan bil kompaun sebelum sebarang pembayaran dibuat,” demikian kata LHDN menerusi kenyataan.
Tamahnya, notis PTP boleh disemak secara dalam talian melalui portal MyTax dan permohonan kompaun juga boleh dibuat melalui kaedah sama dengan bil kompaun akan dikeluarkan terus melalui platform berkenaan tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat LHDN.
Manakala,dokumen berkaitan e-Kompaun boleh diakses dan dimuat turun dengan mengikuti panduan mudah dengan melayari portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my dan Klik Menu Daftar Masuk > Perkhidmatan ezHasil > e-Kompaun. -MalaysiaGazette















