JOHOR BAHRU – Berstatus orang kelainan upaya (OKU) bukan penghalang untuk K Murugan, 51, berjaya dalam bidang pertanian.
Ia dibuktikannya dalam keadaan kaki kanannya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat jangkitan kuman sejak setahun lalu.
Kecacatan dialami itu tidak pernah menjadi alasan untuknya berpeluk tubuh sebaliknya gigih usahawan tani bagi menyara hidup keluarganya.
Menurutnya, selain aktif dalam bidang akuaponik, dia juga menghasilkan food waste barrel (bekas sisa makanan) bagi penanaman sayuran serta buah-buahan.
“Buat masa ini saya saya menggunakan tongkat ketika melakukan kerja-kerja pertanian,” katanya.
Menurutnya, sumber kekuatannya adalah isterinya, A Kogilavani, 41, kerana bersamanya waktu susah dan senang.
“Sebelum berkecimpung dalam pertanian, saya pernah bekerja sebagai pemandu jengkaut selama 30 tahun dan minat saya timbul selepas menonton kaedah akuaponik menerusi YouTube,” katanya ketika ditemui.
Murugan berkata, dia mampu menjalankan aktiviti bertani sekurang-kurangnya lima jam sehari dengan bergerak menggunakan tongkat.
“Selain bertani, saya juga tidak ketinggalan untuk berkongsi ilmu dengan pelajar sekolah berkaitan akuaponik mahupun food waste barrel demi memupuk minat generasi muda dalam bidang pertanian.
“Memang penat ketika berdiri lama dengan menggunakan tongkat namun saya tiada pilihan kerana kaki palsu yang ditawarkan di pasaran tidak bersesuaian dengan aktiviti dijalankan.
“Saya disyorkan menggunakan kaki palsu hidraulik namun kosnya kira-kira RM20,000, buat masa ini ia di luar kemampuan kami,” katanya.
Murugan bersyukur kerana turut menerima geran Iskandar puteri Rendah Karbon 3.0 baru-baru ini daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi projek food waste barrel.
“Malah saya juga juga pernah memenangi lebih 10 anugerah berkaitan pertanian termasuk pingat emas dalam Anugerah Inovasi anjuran Jabatan Pertanian Negeri Johor pada 2019.
“Saya ingin menjadi inspirasi kepada golongan muda bahawa tiada yang mustahil selagi kita berusaha.
“Malah pada masa sama saya ingin menyemai minat ramai dalam bidang ini supaya ia membantu tangani isu keterjaminan makanan,” katanya.- MalaysiaGazette















