KUALA LUMPUR – Seramai 546 individu, termasuk 10 wanita, ditahan dalam tempoh tiga hari menerusi Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang menyasarkan sarang penagihan dadah di seluruh negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan berkenaan memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan, termasuk skim Felda, Felcra, ladang swasta, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), flat, jeti nelayan dan kawasan lain.
“Operasi bermula pada jam 12 tengah malam, 11 Ogos sehingga 12 tengah malam, 13 Ogos lalu itu melibatkan 270 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), balai polis dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Sebahagian besar yang ditahan merupakan warga tempatan, manakala 22 orang adalah warga asing, berusia antara 19 hingga 65 tahun.
“Daripada jumlah tangkapan, 72 individu ditahan kerana mengedar dadah, 153 memiliki dadah, manakala 317 disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Empat lagi ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, lapan individu yang dikehendaki dan 16 penagih tegar turut diberkas di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM253,471 yang merangkumi 209.38 gram heroin, 214.68 gram syabu, 26.19 gram ganja, 255.54 gram ketamin, 283.61 gram pil Erimin 5, 39.49 gram pil ekstasi, 15.5 kilogram daun ketum dan 53.6 liter cecair ketum.
Turut disita dalam operasi tersebut ialah lima motosikal dan wang tunai berjumlah RM30,876.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan pihak penguat kuasa. Op Tapis diadakan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah yang menjadi masalah sosial dan kegusaran masyarakat,” ujarnya.- MalaysiaGazette















