Mohamad Yusri Hafiez didakwa di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan pada awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Yusri Hafiez Yahya, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas di sini, jam 2 pagi pada 1 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira hubungan tertuduh yang merupakan kawan kepada mangsa.

“Namun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan saya mencadangkan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 September depan bagi mendapatkan laporan perubatan.

Difahamkan tertuduh tidak membayar wang jaminan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast