Akhbar berkenaan pada 12 Ogos lalu secara jelas cuba menggambarkan Anas sebagai militan, sekali gus mengulangi naratif palsu yang digunakan Israel bagi menjustifikasikan pembunuhan wartawan Palestin.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam tindakan Sarawak Tribune yang menyiarkan tajuk utama berbaur fitnah terhadap wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif, yang terkorban dalam serangan rejim Zionis di Gaza.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda AMANAH Nasional, Mus’ab Muzahar berkata, tajuk berkenaan secara jelas cuba menggambarkan Anas sebagai militan.

Ini sekali gus mengulangi naratif palsu yang digunakan Israel bagi menjustifikasikan pembunuhan wartawan Palestin.

“Permohonan maaf yang dikeluarkan akhbar itu juga tidak memadai kerana tidak menarik balik tajuk tersebut atau menyatakan penyesalan terhadap fitnah yang dibuat.

“Malah, dalam edisi sama, Sarawak Tribune turut memberi liputan istimewa kepada Benjamin Netanyahu tanpa menyebut peranannya sebagai penjenayah genosid yang bertanggungjawab terhadap kematian lebih 60,000 rakyat Palestin dan hampir 250 wartawan sejak 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pemuda AMANAH memandang serius cubaan media tempatan menormalisasikan genosid serta membungkam kebenaran melalui penyebaran maklumat palsu.

“Sejarah hitam Sarawak Tribune yang pernah ditutup kerana menerbitkan kandungan menghina Rasulullah SAW seharusnya menjadi iktibar.

“Namun insiden ini membuktikan kegagalan mereka memikul tanggungjawab kewartawanan secara beretika,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas termasuk mempertimbangkan penutupan Sarawak Tribune.

“Kebebasan media tidak boleh dijadikan perisai untuk menyebarkan fitnah dan memperkukuh naratif genosid,” tegasnya.

Sebelum ini, Sarawak Tribune pada 12 Ogos lalu telah menyiarkan berita bertajuk ‘Militant using press cover eliminated’ merujuk kepada kematian wartawan Al-Jazeera, Anas al Sharif dalam serangan bom oleh rejim Israel.

Penggunaan tajuk berita itu menerima kecaman apabila akhbar berkenaan seolah-olah melabel wartawan Palestin itu sebagai pengganas.

Walau bagaimanapun, akhbar berkenaan dalam satu kenyataan telah memohon maaf berhubung artikel mengenai kematian tragis wartawan Al Jazeera, Anas Al Sharif di Gaza yang didakwa mengandungi elemen tidak tepat dan kurang jelas.

Untuk rekod, akhbar tertua di Sarawak itu pernah diarahkan untuk tutup pada tahun 2006 selepas menyiarkan semula karikatur dari penerbitan Denmark yang menghina Nabi Muhammad SAW. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast