Seorang lelaki ditahan kerana menceroboh sebuah surau di Kampung Rahmat, Sri Lalang, Kluang.

KLUANG – Seorang polis bantuan ditahan kerana dipercayai menceroboh sebuah surau di Kampung Rahmat, Sri Lalang di sini semalam.

Kejadian tersebut disedari penduduk setempat sebelum memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 1.26 pagi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang kemudian melakukan Ops Cantas pada pukul 2.15 pagi di surau berkenaan.

“Pihak polis berjaya membuat tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 20-an dan pemeriksaan seluruh kawasan surau mendapati tombol pintu telah dirosakkan.

“Ini dilakukan bagi menceroboh masuk ke dalam surau. Bagaimanapun pemeriksaan mendapati tiada barang yang hilang,” katanya dalam kenyataan.

Bawah: Tombol pintu surau yang dirosakkan suspek.

Katanya, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai polis bantuan dalam sebuah kawasan estet di sini dan tujuannya datang ke surau adalah untuk tidur.

“Namun selepas nampak kehadiran polis di luar, lelaki tersebut gelabah dan disyaki merosakkan tombol pintu bilik azan surau,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan diambil daripada ibunya, suspek sememangnya suka tidur surau berlainan setiap hari.

“Suspek tiada sakit mental atau orang kelainan Upaya (OKU) cuma sedikit lembam dan suka bergaul dengan budak-budak,” ujarnya.

Jelasnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan sarinan air kencing mendapatinya negatif sebarang penggunaan dadah.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang 07-7784222, direct line 07-7784256, hotline 07-7766822 dan Tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast