MELAKA – Polis sedang mencari pemandu sebuah Toyota Alphard yang tular videonya terbabas sebelum merempuh tiga kereta di petak parkir di Jalan Merdeka, Melaka Raya, di sini, pagi tadi.
Ia selepas video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi berdurasi 59 saat itu tular di media sosial.
Video berkenaan memaparkan detik kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah berwarna putih itu bergerak laju sebelum merempuh kenderaan terbabit.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati ketika kejadian, Toyota Alphard itu sedang dalam perjalanan dari Banda Hilir menuju ke Hotel Hatten sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Akibatnya, MPV mewah berkenaan melanggar tiga kereta jenis Lexus, Honda City dan Perodua Myvi yang diletakkan di petak parkir namun ketika kejadian tiada pemandu dalam ketiga-tiga kenderaan yang mengalami kerosakan.
“Setakat ini, pemandu Toyota Alphard terbabit masih belum membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana terbabas dan melanggar kenderaan lain di petak parkir. — MalaysiaGazette
















