Shazeli Kahar

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ugutan terhadap isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas anaknya diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengesan pemilik nombor telefon itu.

Menurutnya, isteri Ahli Parlimen Pandan itu juga sudah tampil membuat laporan polis.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. Kita juga sudah merakam keterangan doktor yang merawat anaknya bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan.

Terdahulu, Rafizi tidak menolak kemungkinan serangan dibuat terhadap anak lelakinya berpunca susulan pertemuan beliau bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau whistleblower berkaitan satu skandal pada Rabu minggu lalu.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ia juga adalah cubaan untuk menutup mulutnya berhubung perkara berkenaan.

Media semalam melaporkan polis sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast