ROMPIN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli melihat tapak balai bomba yang akan dibina di Kampung Tekek, di Pulau Tioman, hari ini.
Baginda berkenan menunggang motosikal membawa anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah Al-Sultan Abdullah di kawasan berkenaan.
“Semoga Balai Bomba dan Penyelamat yang bakal dibina nanti dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat di Pulau Tioman.
“Hari ini saya dah lihat tapak bersama Dato’ Pengarah Bomba Pahang dan dimaklumkan tender akan dibuka (bagi kerja-kerja pembinaan), satu balai bomba berkelas D.
“Sekarang Tioman dah ada balai bomba, klinik, balai polis, Telekom wifi ada, bank ada..saya harap semua kemudahan ini memberi manfaat kepada rakyat saya di sini,” titahnya menerusi kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Sebelum itu baginda berkenan ke santapan pagi di Family Cafe sebelum ke tugu dan arca mercu tanda Pulau Tioman untuk merakam gambar kenangan.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan melayani penduduk setempat yang menanti di sepanjang jalan dilalui tuanku sebelum meneruskan lawatan ke Kompleks Jeti Tekek untuk melihat operasi kastam dan imigresen.
Mengakhiri lawatan, Sultan Pahang berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jame’ Kampung Tekek.
Hadir mengiringi keberangkatan lawatan kerja baginda selama tiga hari di Tioman ialah Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Pahang Datuk Ir. Razali Kassim. – MalaysiaGazette
















