PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada lagi teguran dan amaran, sebaliknya tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan ketegangan antara kaum, agama dan budaya di negara ini.
Beliau berkata, unsur negatif yang semakin membarah bermula isu kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akibat buli dan terkini isu Jalur Gemilang dipasang terbalik perlu dihentikan dengan segera.
“Dari hal sebesarnya anak kita Zara Qairina di Sabah, ke isu Jalur Gemilang yang harus kita rai dan muliakan, semua jadi agenda untuk menghangatkan suhu politik.
“Mengecam, menghina, mengherdik, menghukum tanpa mengira hak atau batil apakah palsu, apakah fakta ataupun apakah rekaan dan rekayasa.
“Oleh itu hari ini bukan amaran, hari ini bukan teguran, hari ini saya mengatakan untuk menyelamatkan negara ini, tindakan tegas mesti dan wajib diambil,” katanya berucap pada Majlis Amanah Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Perdana Menteri juga memberi jaminan, tindakan tegas itu akan diambil tanpa mengira darjat mahupun pangkat jika terlibat dalam jenayah ugutan mahupun hasutan.
“Saya menggesa dan memberikan arahan yang jelas kepada badan penguatkuasaan, ada sahaja mana-mana unsur, tokoh besar atau tokoh kecil, tokoh politik ataupun tokoh masyarakat, termasuk rakyat awam, yang terlibat dalam jenayah ugutan hasutan seperti ini.
“Saya ingin tegaskan di sini, sudahlah dan masa seru, masa amaran, orang mual kalau saya bagi amaran berikutnya, kerana orang mengharapkan negara ini mesti diselamatkan.
“Harus ada kesepakatan kita bukan sahaja dalam kalangan badan penguat kuasa khususnya PDRM, tapi keseluruhan ibu bapa pendidik rakyat, hal ini mesti dan wajib dihentikan dan seluruh kekuatan mesti gerak ke arah itu,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar menghormati badan penguatkuasaan dalam menjalankan siasatan ke atas kes termasuk kematian akibat perbuatan buli dan jenayah lain.
“Anak VVIP ini, orang ini, kita ini siapa? Tutup saja pejabat-pejabat polis semua. Kalau dah semua keputusan kita boleh buat tanpa siasat. Jadi harus ada siasatan segera, telus, adil dan terbuka.
“Jangan pakai hukum semberono. Tak layak jadi pegawai. Tak layak jadi seorang tokoh.
“Kalau hanya terus menghukum tanpa apa-apa fakta. Kerana kita benci, kerana sejarah tertentu, tidak boleh begitu. Saya mohon izin rakan-rakan membicarakan kali ini.
“Kerana bagi saya, tidak mungkin kita pertahankan sistem yang aman, baik, maju kalau tak dapat selesaikan masalah ini. Jadi harus ingat, rakan-rakan badan penguatkuasaan. Dengan adil, berdasarkan fakta dan ikut undang-undang,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri menegur pihak tentu yang mengambil tindakan tanpa berlandaskan undang-undang.
“Kalau saya percaya saudara salah, saya tak boleh pergi bawa kumpulan dan ugut saudara. Ikut jalur hukum.
“Sanggup bertindak, kekal jawatan. Tak sanggup bertindak, ganti orang lain yang lebih berani dan tegas,” katanya.
Dalam pada itu, negara tidak boleh membenarkan sikap melampau yang menganjurkan budaya keangkuhan, kebiadaban, buli, merendahkan darjat orang berdasarkan kaum, keturunan atau warna kulit dan sebagainya.
“Kalau ada rakan-rakan yang diberi amanah, tidak bersedia, mereka beritahu saya, kita tukar mereka kepada orang yang berprinsip, tegas dan berani bertindak.
“Ini bukan saingan populariti, bukan saingan siapa yang lebih popular, siapa yang sanggup menarik minat rakyat, ini soal menyelamatkan negara.
“Kita ada pengalaman, bibit-bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum, mulanya kecil, kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran berita-berita palsu, jangan diizinkan, mana boleh.
“Bukan satu dua orang boleh jadi jaguh dengan angkuh untuk mengherdik, mengugut orang lain. Tiap rakyat, tak kira kecil, besar, miskin, kaya, dari mana kaum, mesti kita jamin keselamatan mereka, itu mesti kita pertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette

















rakyat pun dah mual tgk tak ada hukuman tegas kpd mrk yg menghina bendera negara …balik2 alasan oku…