KUALA LUMPUR – Tiket Konsert Gelombang Bahagiaku oleh legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan bersama anaknya, penyanyi Atilia di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) malam esok habis terjual.
Perkembangan itu dimaklumkan Atilia di media sosial miliknya di sini.
“Gelombang Bahagiaku Sabtu ini secara rasminya SOLD OUT!
“Lebih dari gembira dan bersyukur. Ini sangat bermakna bagi kami,” tulis Atilia.
Konsert Gelombang Bahagiaku bukan hanya menyatukan dua vokal daripada latar muzik yang berbeza, tetapi juga menggabungkan dua dunia, dua generasi, dan dua jiwa dalam satu nadi muzik yang harmoni dan abadi.
Antara lagu duet yang bakal dipersembahkan termasuk sebuah karya baharu berjudul ‘Age Is Just A Number’, yang membawa mesej positif tentang kehidupan, kematangan, dan keberanian menjadi diri sendiri tanpa mengira usia.
Turut menyerikan konsert berkenaan ialah Mimifly yang akan membuka tirai persembahan dengan semangat dan sokongan padu terhadap kerjaya muzik Atilia selain Loque dan Hardy Arbi.
Harga tiket dijual pada harga RM150 hingga RM350 menerusi saluran rasmi Atilia, Salamiah dan pihak penganjur. – MalaysiaGazette

















