Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis perniagaan di Pulau Pinang baru-baru ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik daripada parti kerajaan sendiri.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang memobilisasi demonstrasi dan mengeluarkan ancaman terhadap pemilik premis tersebut sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.

Menurutnya, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara serta simbol perpaduan rakyat Malaysia yang wajar dihormati oleh semua pihak tanpa mengira kaum atau agama.

“Namun tindakan YB Akmal yang bertindak mengadakan demonstrasi di hadapan premis serta mengugut pemiliknya amat tidak wajar, apatah lagi datang daripada seorang wakil rakyat dalam kerajaan yang memerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Umar turut mempersoalkan tindakan Akmal yang tidak menunggu siasatan pihak berkuasa selesai sebelum mengambil tindakan sendiri yang lebih bersifat tekanan dan provokatif.

“Kesilapan pertama beliau ialah bertindak terburu-buru tanpa memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasat dan mendapatkan penjelasan. Sebaliknya, beliau terus memilih pendekatan yang menekan dan mengugut, sekaligus mencetuskan suasana tegang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Islam menolak sebarang bentuk ugutan dan tindakan melampaui batas, walaupun atas alasan ingin membetulkan kesalahan.

“Isu melibatkan simbol negara seperti Jalur Gemilang perlu diselesaikan secara berhemah dan melalui saluran yang betul agar tidak menimbulkan mudarat yang lebih besar. Tetapi tindakan Akmal dilihat terlalu berlebihan,” tegasnya.

Sheikh Umar turut mengingatkan bahawa sebagai pemimpin kerajaan, Akmal seharusnya menunjukkan kematangan politik dan menjadi teladan kepada rakyat.

“Tindakan beliau yang beremosi dan mengugut pihak tertentu bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang, malah memberi persepsi bahawa beliau membawa naratif pembangkang yang berpotensi melemahkan kerajaan sendiri,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak untuk terus memelihara maruah dan kedaulatan negara dengan penuh rasa hormat sambil menjaga keharmonian antara kaum demi masa depan Malaysia yang lebih bersatu padu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast