Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh diseru segera membawa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan meninggalkan DAP,  seterusnya bersama-sama Perikatan Nasional (PN) dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, tiada gunanya lagi Dr Akmal bersama DAP dalam Kerajaan Madani sekiranya terus dihina kerana mempertahankan maruah negara dan Jalur Gemilang.

Menurutnya,  ketika ADUN Merlimau itu ditekan DAP, pemimpin pembangkang termasuk Armada Bersatu, Pemuda PAS dan Perikatan Nasional (PN) berada dengannya termasuk melalui himpunan di Kepala Batas, Khamis lalu.

“Sejak dari dahulu lagi, apabila Dr Akmal dihentam teruk DAP kerana mempertahankan sesuatu seperti kalimah Allah dan bendera Jalur Gemilang, saya sudah menyeru beliau untuk terus lawan DAP seperti apa yg PN lakukan.

“Jadi saya menyeru supaya beliau bawa UMNO tinggalkan DAP malah kebersamaan Pemuda UMNO dan Pemuda PN dalam perjuangan ini menunjukkan kita boleh bersatu dalam mempertahankan maruah bangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Aleef turut menyifatkan UMNO yang kini tunduk kepada DAP telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal apabila kekal bersama kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih teruk, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dituduh menjual parti itu kepada Anwar dan DAP.

“Jadi Dr Akmal mesti bertindak bawa UMNO kembali ke landasan sebenar kerana sudah sampai masa orang Melayu kembali bersatu,” tegasnya lagi.

Tambahnya, penyatuan UMNO, Bersatu dan PAS tidak mustahil dicapai, sebagaimana pernah berlaku ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad di mana seluruh orang Melayu disatukan.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang lawan DAP, lawan sampai habis-habisan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. DAP teruk…tp Muhyidin pun sama teruk…ahli UMNO tak kan lupa pengkhianatan Muhyidin yg bersekongkol dgn Medey tua…dan ahli UMNO tak kan lupa penghinaan Muhyidin terhadap pemimpin kesayangan rakyat DS Najib Tun Razak

Comments are closed.