SHAH ALAM – Setakat ini tiada rundingan agihan kerusi di antara Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menghormati rundingan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dengan GRS.
“Yang telah dimuktamadkan ialah BN, PH (kerusi) dan kita menghormati (perbincangan antara) PH (dan) GRS. Tidak ada rundingan secara langsung di antara BN dengan GRS.
“Jadi setakat itu, rundingan-rundingan yang lain supaya dielakkan daripada pertandingan tiga penjuru, pertindihan kerusi dilakukan di belakang tabir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mahlis Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Zahid juga memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan kerusi di antara BN dan PH.
Melihat dinamika politik di negeri bawah bayu itu, Zahid dalam masa yang sama tidak menolak potensi berlakunya pertandingan sehingga lapan penjuru pada pilihan rayq kali ini.
“Namun saya rasa, oleh kerana banyak parti-parti baharu di Sabah mahu menyertai pilihan raya kali ini, tentunya pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan, mungkin hingga ke lapan penjuru jadi lagi banyak (pertandingan) lagi meriah,” jelasnya.
Pada Jun lalu media melaporkan rundingan kerjasama antara BN dan PH bagi menghadapi PRN Sabah sudah memasuki fasa akhir.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia melibatkan seluruh komponen dalam gabungan itu termasuk dengan rakan strategik di Sabah.-MalaysiaGazette
















