KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung prosiding inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir pada esok.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, kenyataan tersebut akan dikeluarkan sama ada sebelum atau selepas prosiding yang dijadual berlangsung jam 9 pagi di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
“Kita keluarkan statement esok jika perlu. Esok wakil boleh hadir di sana untuk cover,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette.
Kes Zara Qairina yang mendapat perhatian meluas masyarakat dijangka menyaksikan keterangan saksi-saksi penting bagi membantu mahkamah menentukan punca sebenar kematian remaja berusia 17 tahun itu.
Prosiding inkues tersebut dijangka menarik liputan meluas media serta kehadiran pertubuhan masyarakat sivil yang mengikuti rapat perkembangan kes berkenaan.
Mahkamah Majistret awal hari menetapkan sebutan inkues berhubung kematian pelajar Zara Qairina ditetapkan pagi esok.
Peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu mangsa Noraidah Lamat, 45, mengesahkan perkara itu kepada Bernama hari ini, dan memaklumkan beliau telah dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada Rabu, AGC memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina, 13, selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai. – MalaysiaGazette















