Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Isu pembuangan sampah haram di Kuala Selangor tidak boleh ditangani dengan tindakan sementara semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah berhubung dengan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), pejabat daerah dan kerajaan negeri bagi memastikan masalah berkenaan ditangani secara menyeluruh serta tidak berulang.

“MPKS telah mengadakan operasi bersepadu bagi membanteras pembawaan sampah secara haram pada 14 September lalu.

“Apa yang saya mahukan bukan sekadar tindakan sekali-sekala, tetapi satu komitmen berterusan yang benar-benar memberi kesan.

“Ini bukan sahaja soal penguatkuasaan, tetapi juga melibatkan sikap dan tanggungjawab masyarakat. Jika rakyat sendiri tidak berubah, segala kempen yang dijalankan tidak akan berhasil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut menegaskan, usaha membanteras sampah haram memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk MPKS, agensi negeri, pengusaha serta komuniti setempat.

“Komitmen bersama ini penting agar Kuala Selangor kekal bersih, selamat dan sejahtera,” ujarnya.

Sebelum ini, dalam operasi bersepadu membanteras pembuangan sampah haram menerusi ‘Ops Wangi’ pada Khamis lalu, sebanyak sembilan lokasi di Kampung Seri Sentosa, Ijok dikesan menjadi tapak pelupusan sampah tidak terkawal.

Hasil pemeriksaan di semua lokasi itu, empat jentera pengendalian sampah dan sebuah lori telah disita.

Selain itu, tujuh lokasi ditutup sepenuhnya dengan penghadang dan pita keselamatan bagi menghalang sebarang aktiviti pembuangan sampah berulang.

Satu kompaun turut dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007 terhadap individu yang didapati membuang sampah di tempat awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast