KUALA LUMPUR – Selain prosiding berprofil tinggi melibatkan titah adendum esok, beberapa lagi kes tumpuan umum akan didengar di mahkamah sekitar ibu negara sepanjang minggu depan.
Di Mahkamah Sesyen Putrajaya esok, penyanyi Naim Daniel dijadual hadir bagi sebutan kes melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun.
Pada 17 Jun lalu, artis itu atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu ‘Sumpah’ itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun tujuh bulan, bagi tujuan seksual, di sebuah hotel pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Esok juga, wanita warga China yang ditahan berhubung kes mencederakan pegawai kaunter Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lalu, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang.
Menurut laporan media hari ini, Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah berkata, keterangan lima individu termasuk pegawai Imigresen terbabit sudah direkodkan berkaitan kes berkenaan.
Wanita berkenaan ditahan kerana bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter Imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di KLIA di sini. Dia mendakwa bimbang terlepas penerbangan.

Pada Rabu (20 Ogos), Mahkamah Rayuan, Putrajaya akan mendengar permohonan semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman kerana pemalsuan dokumen.
Semakan itu dijadual didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Dr Lim Hock Leng.
Peter, 54, dihukum penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lalu.

Sementara itu, Khamis ini di ibu negara, Mahkamah Tinggi akan memutuskan permohonan semakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan pendakwaan kes gagal mengisytiharkan harta.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pasukan peguam yang mewakili balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan pasukan pendakwaan selaku responden.
Na’imah diwakili Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Law Chin How mewakili responden.
Na’imah memfailkan permohonan semakan agar Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding, mengenai ketepatan, kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen.
Menurut permohonan itu, jika jawapan kepada semua di atas adalah afirmatif, rekod bagi prosiding kemudiannya akan dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Na’imah agar persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya, dirujuk ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan balu bekas Menteri Kewangan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.
Na’imah kemudian memfailkan permohonan pada 29 Februari tahun lalu untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (‘AMLATFPUAA’). – MalaysiaGazette















