KUANTAN – Seorang lelaki warganegara Myanmar maut ditikam rakannya di sebuah rumah kongsi pekerja lombong bijih timah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 4.30 pagi semalam.
“Mangsa, lelaki warganegara Myanmar berusia 42 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada jam kira-kira 3 pagi setelah dibawa ke hospital oleh seorang rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan cedera parah akibat tikaman di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan.
Bertindak atas maklumat, katanya, sepasukan anggota dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan bantuan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Ashari berkata, sejumlah empat sampel darah telah diambil bagi tujuan analisa dan sebilah pisau turut ditemukan.
“Polis kemudian menahan empat individu iaitu dua warga Myanmar, seorang Bangladesh dan seorang rakyat tempatan berusia lingkungan umur 38 tahun hingga 64 tahun bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Tambahnya, kejadian dikatakan berpunca apabila mangsa yang sedang mabuk mengganggu rakan-rakan lain yang ketika itu sedang tidur.
Menurut Ashari, bedah siasat yang dijalankan di HTAA mengesahkan punca kematian adalah akibat luka tikaman pada bahagian tubuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















