KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia menasihati orang awam supaya tidak membeli atau menggunakan produk tradisional Chang-Sze-Long Badu Gao kerana dikesan mengandungi paras merkuri melebihi had yang dibenarkan.
Menurutnya, produk ini mempunyai nombor pndaftaran MAL13095093T dan digunakan untuk tampalan luaran bagi melegakan bengkak dan kesakitan ringan.
“Produk ini telah dipanggil balik dari pasaran manakala pendaftaran produk tersebut telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan tidak lagi
dibenarkan untuk dijual atau diedarkan di Malaysia,” katanya.
Tambah NPRA, paras merkuri yang telah ditetapkan di bawah Akta Racun 1952 dan Garis Panduan Pendaftaran Produk NPRA ialah tidak melebihi spesifikasi 0.5mg/kg atau 0.5ppm.
Penyerapan merkuri pada paras yang tinggi boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, gangguan terhadap perkembangan otak kanak-kanak, termasuk yang belum dilahirkan (janin), dan masalah pada kulit seperti ruam, iritasi dan perubahan pada kulit.
Lantaran itu, penjual dan pengedar produk ini dikehendaki menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta.
Tindakan menjual atau mengedarkan produk ini adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Sekiranya disabit kesalahan individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk
kesalahan berikutnya.
Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan supaya menghentikan penggunaannya dengan serta merta. – MalaysiaGazette















