PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel akan terus komited dan menumpukan perhatian kepada tugas hariannya sebagai anak seni meskipun berdepan dengan pertuduhan amang seksual.
Naim atau nama penuhnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, memberitahu, pada masa ini dia banyak menumpukan pada diri sendiri, selain sibuk menulis lirik lagu.
“Alhamdulillah saya baik, saya sedang sibuk dengan muzik balik dan tengah menulis (lirik lagu) juga. Selain itu Naim fokus kepada diri dulu.
“Setakat ini, alhamdulillah, sama ada perkara ini timbul atau sebaliknya, Naim akan terus fokus kerja itu kerja Naimkan. Harap semua orang dapat bersama-sama sabar untuk perkembangan seterusnya (mengenai kes ini) itu sahaja daripada Naim,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen, Putrajaya hari ini bagi sebutan kes yang dihadapinya bersabit tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Sementara itu, peguam yang mewakilinya Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique mengesahkan prosiding yang berlangsung hari ini adalah berkaitan serahan dokumen daripada pihak pendakwaan kepada pembelaan.
Menurutnya, prosiding berlangsung di hadapan Hakim Datin M Kundasamy.

Selain Nur Syafiqah, Naim turut diwakili Datuk Amirul Ridzuan dan Mohd Irwan Sumadi.
Tambahnya, mahkamah hari ini menetapkan tarikh sebutan dan pengurusan kes pada 19 September.
“Jadi pada tarikh pengurusan kes itu kita akan lihat ada dokumen tambahan atau tidak yang akan diaerahkan oleh pihak pendakwaan, jika ada,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan.
Penyanyi itu dituduh melakukannya pada 19 Mei lalu jam kira-kira 8.56 malam di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.- MalaysiaGazette
















