GEORGE TOWN – Dua pemancing yang dilaporkan hilang selepas keluar ke laut sejak semalam berjaya ditemui selamat di perairan Pulau Kendi, di sini, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua lelaki berusia 34 dan 64 tahun itu dilaporkan keluar memancing pada jam 10 pagi semalam namun gagal dihubungi sebelum keluarga membuat laporan.
“Mereka sepatutnya dilaporkan pulang ke rumah pada sebelah malam, namun apabila gagal dihubungi menimbulkan kebimbangan keluarga.
“Sejurus menerima maklumat, aset penguatkuasa dikerahkan serta-merta malam kejadian bagi operasi pencarian awal di sekitar koordinat terakhir bot pemancing.
“Operasi pencarian yang menjangkau hampir lima jam akhirnya membuahkan hasil apabila kedua-dua pemancing ditemui dalam keadaan bersauh pada kedudukan 15 batu nautika barat Pulau Kendi kira-kira jam 3 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot yang dinaiki mengalami kerosakan enjin menyebabkan kedua-dua mangsa terkandas di laut.
“Kedua-duanya ditemui dalam keadaan sihat dan stabil. Selain itu, bot pemancing berjaya dihidupkan semula dan diiringi sehingga merapat di Jeti Limbungan Batu Maung,” katanya.
Dalam pada itu, Maritim Negeri Pulau Pinang turut menzahirkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat pantas serta menggesa komuniti nelayan melengkapkan diri dengan Personal Locator Beacon (PLB) bagi memastikan keselamatan ketika berada di laut. – MalaysiaGazette















