Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) melaksanakan kajian impak aktiviti di kawasan perlombongan unsur nadir bumi (REE) bagi menilai kebolehlaksanaan aktiviti berkenaan secara bertanggungjawab di kawasan hutan simpanan kekal (HSK).

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kajian itu bertujuan menyediakan asas saintifik dan teknikal bagi pertimbangan dasar berkaitan larangan perlombongan di HSK, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) serta kawasan rizab perlindungan.

“Pelaksanaan kajian ini dirancang secara berfasa dalam tempoh lima tahun, merangkumi fasa pra-perlombongan (2024–2025), semasa perlombongan (2026–2027) dan pasca perlombongan (2028–2029),” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta kementerian menyatakan status kajian untuk membenarkan aktiviti perlombongan REE di kawasan HSK serta garis masa untuk kajian dimuktamadkan.

Menurut Johari lagi, kajian berkenaan turut melibatkan kerjasama rapat agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLANMalaysia.

Tambahnya, antara komponen utama yang akan dikaji meliputi enam aspek penting iaitu hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosio-ekonomi.

Selain itu, FRIM turut melaksanakan satu kajian jangka pendek pada tahun ini di kawasan ladang getah di Mukim Kenering, Perak, yang menggunakan kaedah perlombongan larut lesap (in-situ leaching).

“Berdasarkan laporan kajian awalan tersebut, didapati bahawa aktiviti perlombongan REE hanya memberi impak negatif yang minimum sekiranya ia dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelasnya.

Katanya, pengumpulan data ulangan bagi tahun 2025 kini sedang dijalankan bagi membandingkan dapatan awal dan terkini, dan dijangka selesai pada September ini sebelum laporan penuh dibentangkan pada Oktober 2025.

Bagaimanapun, ujar beliau, FRIM masih perlu menjalankan penilaian lanjut terhadap impak perlombongan di kawasan hutan asli sebelum sebarang kesimpulan menyeluruh dapat dirumuskan.

“Sebarang keputusan dasar berkaitan aktiviti perlombongan di kawasan HSK hanya akan dipertimbangkan selepas kajian ini dimuktamadkan sepenuhnya,” tegas Johari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast