BUKIT MERTAJAM – Janji Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim untuk membantu keluarga Umi Kalsum Nayan, 52, akhirnya tertunai apabila rumah pusaka usang yang hampir runtuh diganti dengan kediaman baharu yang lebih selesa.
Umi Kalsum yang mesra dengan panggilan Kak Umi ditemui Steven Sim beberapa minggu lalu ketika beliau tanpa makluman singgah melawat.
Kebetulan ketika itu, wanita itu baru turun dari Bukit Tok Kun selepas mengambil upah menjaga dusun milik kenalan rapat.
Steven Sim berkata, pertemuan itu menyentuh hati apabila melihat Kak Umi yang uzur masih gigih bekerja, namun lebih bimbang tentang nasib adiknya, Rosman Nayan, 46, seorang pembantu kedai makan dan pesakit jantung yang tidak mampu membuat kerja berat.

“Saya terkejut kerana walaupun dirinya serba kekurangan, yang diminta Kak Umi hanyalah supaya saya bantu adiknya Rosman.
“Ketika itu saya berjanji, saya akan cuba sedaya upaya, dan syukur hari ini janji itu tertunai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambah Steven Sim, rumah baharu itu dibina dengan sokongan jemaah surau, jiran pelbagai kaum serta lebih 20 pelajar daripada kursus kepimpinan First CDK Engineering yang turun bergotong-royong menyiapkannya.
“Saya hadir pada majlis doa selamat baru-baru ini dan rumah yang sebelum ini hampir roboh kini berdiri indah.

“Kehadiran jiran-jiran pelbagai bangsa membuktikan semangat kita orang Malaysia iaitu susah sama-sama, senang juga tetap bersama,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Steven memaklumkan selain rumah, beliau juga mencadangkan agar kedai makan lama milik keluarga itu dibaik pulih supaya Rosman boleh berniaga sendiri bagi menambah pendapatan keluarga serta membina semula kehidupan bersama dua anaknya yang masih bersekolah. – MalaysiaGazette
















