Sebuah deretan kedai dua tingkat yang menempatkan premis menjual barangan serbaneka serta sebuah klinik pergigian di Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna, Sabah, musnah dalam kebakaran malam tadi. Ihsan Foto : Bomba

KUALA LUMPUR – Sebuah deretan kedai dua tingkat yang menempatkan premis menjual barangan serbaneka serta sebuah klinik pergigian di Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna, Sabah, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Norhaini Jumdani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.53 petang.

Susulan itu, seramai 49 anggota termasuk bantuan dari BBP Air Semporna dan BBP Kunak bersama jentera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Sebaik tiba, api didapati sedang marak memusnahkan tiga deretan kedai dua tingkat jenis kekal dengan keseluruhan premis kedai serbaneka berkenaan terbakar 90 peratus.

“Kebakaran turut melibatkan sebuah klinik pergigian di tingkat atas yang musnah kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norhaini berkata, operasi berdepan cabaran apabila pasukan bomba mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air akibat tekanan pili bomba yang rendah.

Bagaimanapun, bantuan lori tangki air daripada Jabatan Air Sabah tiba di lokasi pada jam 8.30 malam sebelum operasi dipergiat menggunakan tiga aliran dengan enam pancutan.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 8.19 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.52 tengah malam setelah tiada lagi bahaya lain dikesan di lokasi kejadian.

“Setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami mangsa,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast