Tangkap layar memaparkan suspek melarikan beg tangan seorang wanita dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Ismail, Kulai, semalam

KULAI – Polis memberkas seorang lelaki selepas tidak sampai 24 jam melakukan samun terhadap seorang wanita di sebuah restoran di Jalan Ismail di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan video kejadian itu yang tular dan menerima laporan kejadian tersebut yang berlaku pukul 7.35 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa iaitu seorang wanita berusia 50-an sedang bersarapan dan meletakkan beg tangan miliknya di atas kerusi.

“Kemudian datang suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan melarikan beg tangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa mengalami kerugian wang tunai lebih RM1,000 dengan dokumen pengenalan diri turut dilarikan dan kejadian tersebut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) milik restoran tersebut.

Bertindak atas maklumat katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mengesan suspek.

Pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di sebuah premis perniagaan di Taman Cantik pukul 5.10 petang semalam.

“Polis merampas sebuah beg dompet mengandungi pelbagai resit, wang tunai RM303 dan S$115 , seutas rantai kuning, sebuah telefon bimbit, sebuah helmet, sebatang kunci serta sebuah motosikal Yamaha Y15ZR warna hijau yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati wang milik mangsa telah dibelanjakan suspek manakala beg tangan mangsa telah dibakar di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan rumah suspek,” ujarnya .

Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

Seng Lee berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan masih dikehendaki polis bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau, suspek kini ditahan dan permohonan reman akan dikemukakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast