Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membakar rumah sendiri dalam kejadian di Kampung Baru, Sungai Lalang, Bedong, Sungai Petani, Kedah, semalam. Ihsan Foto : Orang awam

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membakar rumah sendiri dalam kejadian di Kampung Baru, Sungai Lalang, Bedong, Sungai Petani, Kedah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 43 tahun yang memaklumkan rumahnya terbakar kira-kira jam 7 petang selepas dihubungi oleh saudaranya.

“Pengadu mengesyaki adiknya yang berusia 39 tahun bertindak membakar rumah itu selepas mengamuk.

“Siasatan awal mendapati pengadu, suspek dan seorang lagi abang mereka tinggal bersama di rumah berkenaan.

“Rumah yang diperbuat daripada papan dan bata itu musnah terbakar sebelum api merebak ke rumah jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati suspek yang tidak bekerja itu mengaku memulakan kebakaran dengan membakar kertas menggunakan pemetik api.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan dua rumah di Kampung Baru, Sungai Lalang musnah dalam kebakaran berkenaan.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Naim Mat Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 7.52 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua rumah kelas B. Sebuah daripadanya musnah 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar 70 peratus.

“Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental berusia 40 tahun turut berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast