KUANTAN – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) bersama enam kru termasuk tekong warga tempatan, ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dalam Op Makmur dan Op Tiris.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata kesemua ditahan selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan kira-kira 0.23 batu nautika dari timur Pantai Pontian lebih kurang pukul 12.30 tengah hari pada 16 Ogos lalu.
Menurutnya penahanan dilakukan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah vesel jenis fiber pukat hanyut yang mencurigakan beroperasi di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut dikendalikan enam kru termasuk tekong warga tempatan, berumur lingkungan 21 hingga 37 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan disyaki melakukan tiga kesalahan iaitu pemilik tidak mengusahakan sendiri, gagal memaklumkan pertukaran enjin vesel serta membawa awak-awak melebihi jumlah yang dibenarkan dalam syarat sah lesen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Vesel dan semua kru bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut anggaran lebih kurang 150 kilogram telah ditahan, dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.
Mazlan berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik vesel yang mengambil jalan mudah melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan peribadi tanpa memikirkan kesannya terhadap sumber perikanan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – MalaysiaGazette
















