Misteri kehilangan seorang nelayan di Sundar, Lawas, Sarawak sejak 14 Ogos lalu terungkai selepas mayatnya ditemui terapung di perairan Labuan, kelmarin. Ihsan Foto : Orang awam

KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang nelayan di Sundar, Lawas, Sarawak sejak 14 Ogos lalu terungkai selepas mayatnya ditemui terapung di perairan Labuan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, mayat berkenaan ditemui seorang wanita tempatan yang sedang mencari landak laut di Pantai Tanjung Batu pada jam 12.14 tengah hari, 16 Ogos.

“Wanita itu segera memaklumkan kepada pihak polis dan mayat dibawa ke pesisir pantai sebelum dihantar ke Hospital Labuan dengan bantuan Pasukan Polis Marin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mayat dalam keadaan sudah kembang dengan beberapa bahagian kulit mengelupas namun tiada sebarang kesan kecederaan fizikal ditemui.

Pegawai perubatan kemudiannya telah mengesahkan kematian pada jam 2.19 petang.

“Hasil siasatan mendapati penemuan mayat itu mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan seorang nelayan, Assan Osman, 65, dari Kampung Sebelah Sundar, Lawas.

“Mangsa telah dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan dan udang pada 5.30 pagi, 14 Ogos lalu.

“Namun, usaha mencari oleh keluarga dan penduduk kampung hanya menemui perahu milik mangsa terapung di laut Sundar,” tambahnya.

Ahli keluarga mangsa telah dipanggil ke Hospital Labuan untuk proses pengecaman, sebelum anak kandungnya mengesahkan mayat berkenaan adalah Assan ketika berada di Jabatan Forensik hospital itu pada 17 Ogos, semasa bedah siasat dijalankan.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan mengelakkan penyebaran gambar berkaitan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa serta tidak mengganggu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast