NIBONG TEBAL – Polis menahan seorang pemandu lori selepas bertindak memandu secara melulu dan menghalang tugas penjawat awam dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Jawi, pada Sabtu lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 11.30 malam itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan mengesan dua lori tipper dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan kedua-duanya berhenti.
Bagaimanapun, pemandu berkenaan enggan mematuhi arahan, sebaliknya memecut laju ke jalan utama termasuk melanggar lampu isyarat merah malah hampir merempuh anggota polis yang bertugas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, tindakan suspek yang berbahaya itu akhirnya berjaya dihentikan dengan bantuan unit MPV dan rondaan bermotosikal (URB) di Jalan Sungai Daun, Kampung Ladang Kalidonia.
“Hasil siasatan mendapati lelaki tempatan itu tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan (GDL).
“Semakan lanjut turut mendapati cukai jalan lori berkenaan telah tamat tempoh namun insuransnya masih sah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, suspek kini ditahan manakala lori berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette















