KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang teguh di belakang Dr. Akmal Saleh yang mempertahankan maruah Jalur Gemilang.
Ketuanya, Muhammad Kamil Ibrahim berkata, bendera Malaysia bukan sekadar kain yang dikibar tetapi ia adalah lambang kedaulatan negara, maruah bangsa dan darah datuk serta nenek yang berkorban air mata dan darah untuk nama Malaysia ini.
“Pemuda UMNO Pahang berdiri teguh di belakang Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Yang Berhormat (YB) Dr. Akmal Saleh. Susah senang tetap kami harungi bersama.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan Jalur Gemilang atau menjadikannya bahan mainan politik murahan.
“Kalau tidak tahu menghormati bendera ini, lebih baik jangan berpijak di bumi bertuah bernama Malaysia. Jangan jadi pengkhianat yang hidup menumpang tetapi tidak pernah tahu bersyukur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Kamil, kesetiaan bersama Dr. Akmal bukan kerana individu tetapi kerana perjuangan mempertahankan maruah bangsa dan tanah air.
“Kepada mereka yang buta sejarah dan rapuh jati diri, ketahuilah bahawa kami tidak akan berdiam diri melihat panji negara ini dicabuli.
“Selagi ada yang berani mengangkat Jalur Gemilang dengan megah, selagi itulah kami akan terus menjadi benteng yang tidak akan pernah goyah,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















