Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiba bagi penghujahan saman SRC International Sdn Bhd terhadapnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 19 September ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti tambahan iaitu surat dari Majlis Kesultanan Pahang bagi menyokong titah adendum dalam semakan kehakimannya.

Hakim Alice Loke Yee Ching turut menetapkan hari yang sama bagi mendengar permohonan kerajaan supaya mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) agar pihak-pihak tidak membincangkan isu berkaitan prosiding itu.

Tarikh itu ditetapkan pada sesi pengurusan kes hari ini.

Hakim berkenaan turut mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bagi permohonan memasukkan bukti tambahan pada atau sebelum 5 September ini.

Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib hadir mendengar keputusan rayuan Peguam Negara terhadap perintah Mahkamah Rayuan berkaitan semakan kehakiman mengenai titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 OGOS 2025. (GAMBAR FAIL)

Bekas Perdana Menteri memohon membuat pindaan dengan memasukkan afidavit anaknya, Datuk Mohamad Nizar yang mengandungi surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu bagi mengesahkan titah adendum.

Surat itu ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan.

Najib mengemukakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus yang memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ia bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama daripada Seri Paduka ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Jika perintah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast