GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang bongkar stor simpanan ganja selepas menahan lima lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di sekitar bandaraya ini, pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Serbuan bermula jam 10 malam hingga 7 pagi itu turut membawa kepada rampasan 46 kilogram (kg) ganja bernilai RM142,600.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi berkenaan menyasarkan dua buah kediaman dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphad yang dijadikan tempat menyimpan dadah berkenaan.
“Kita menahan lima suspek tempatan berusia 38 hingga 56 tahun selain menemui sejumlah dadah di dua buah rumah dan sebuah MPV.
“Sebahagian dadah dirampas dalam rumah manakala sebahagian lagi dalam kenderaan MPV tersebut.
“Kita turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan Honda Accord bernilai RM47,000 sekali gus menjadikan nilai rampasan termasuk sitaan berjumlah RM189,600,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak Februari tahun ini.
“Selain itu, saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis THC dan seorang positif methamphetamine.
“Dua daripada mereka juga didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Ogos depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















