BEIJING – Pembuat jam tangan Switzerland, Swatch memohon maaf dan menarik balik sebuah iklan yang memaparkan model menarik hujung matanya selepas imej tersebut mencetuskan tuduhan perkauman serta gesaan boikot di media sosial China.
Pengguna internet mengecam isyarat “mata sepet” yang dibuat oleh model lelaki Asia itu sebagai bersifat perkauman.
Dalam hantaran di Instagram dan platform media sosial China, Weibo, pada Sabtu, Swatch mengakui “kebimbangan terkini mengenai gambaran seorang model” dalam iklan tersebut dan berkata pihaknya telah memadam bahan promosi itu di seluruh dunia.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang kesedihan atau salah faham yang mungkin telah timbul,” tulis syarikat itu.
Namun ramai pengguna dalam talian tidak berpuas hati dengan respons syarikat berkenaan dan terus menggesa boikot terhadap jenama-jenama di bawah Kumpulan Swatch, termasuk Blancpain, Longines dan Tissot.
Seorang pengguna Weibo dengan lebih sejuta pengikut menuduh syarikat itu melakukan “perkauman terhadap orang China” dan mencadangkan firma tersebut harus dihukum oleh pihak berkuasa.
Yang lain pula menuduh Swatch melakukan diskriminasi secara sengaja dan menggesa pengguna memboikot syarikat itu.
“Imej jenama sudah runtuh. (Swatch) fikir mereka boleh sekadar memohon maaf dan selamatkan keadaan? Ia tidak semudah itu,” tulis seorang lagi pengguna.
China merupakan salah satu pasaran terbesar bagi Kumpulan Swatch.
Namun, seperti banyak jenama mewah Barat yang lain, pembuat jam tangan itu berdepan kesukaran mengekalkan pertumbuhan apabila ekonomi kedua terbesar dunia itu perlahan dan pengguna beralih kepada jenama yang lebih mampu milik.
Pada Julai lalu, kumpulan itu melaporkan penurunan 11.2 peratus dalam jualan bersih bagi enam bulan pertama tahun ini.
Ia berkata kemerosotan itu “semata-mata disebabkan” permintaan yang lembap di China.
Swatch bukanlah jenama asing pertama yang berdepan tuduhan iklan berbaur perkauman di China.
Jenama fesyen mewah Itali, Dolce & Gabbana, pernah menerima kritikan hebat pada 2018 selepas menyiarkan video promosi yang memaparkan model China kekok menggunakan penyepit untuk makan makanan Itali.
Pada 2023, jenama Perancis Dior juga mencetuskan kemarahan dengan sebuah iklan yang menunjukkan model menarik hujung matanya. -AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















