KUALA LUMPUR – Siasatan bagi kes kematian Zara Qairina Mahathir yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyentuh aspek pengabaian dan gangguan seksual, selain unsur buli.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, elemen berkenaan dimasukkan dalam laporan siasatan kes berkenaan dan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Ada elemen pengabaian kerana adik ini ada membuat aduan kepada pihak sekolah, jadi kita siasat ada elemen pengabaian.
“Saya tak tolak daripada membaca tuduhan itu ada elemen buli. Ya, saya nak sebut ada elemen buli. Jelas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut Saifuddin menegaskan, semua aspek berkenaan dikenal pasti selepas mengambil keterangan daripada 195 saksi setakat hari ini.
Beliau berkata, selain saksi beberapa bahan bukti juga diambil termasuk diari 51 halaman milik Zara yang diserahkan guru kepada polis.
“Siasatan ini sampailah membawa kepada diari adik Zara diserahkan oleh guru kepada polis. Catatan 51 halaman yang memberikan luahan hati adik Zara pada momen-momen apakah masalah yang sedang dia hadapi.
“Keterangan oleh rakan-rakan yang tinggal satu asrama dengan dia dan apakah yang berlaku pada 14 dan 15 Julai. Itu semua polis lengkapkan dalam siasatan.” Ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pagi tadi untuk meneruskan proses seterusnya.
Katanya, siasatan Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini juga sudah menetapkan tarikh inkues bermula awal September nanti.
“Pagi tadi pihak polis sudah menyerahkan kepada peguam negara dan sekarang kita tunggu keputusan sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan apakah proses seterusnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















