BUTTERWORTH – Seorang penganggur warganegara Vietnam yang tular kerana mengacukan pisau ke arah bayi berusia 11 bulan di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air, di sini, pada 9 Ogos lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Butterworth esok.
Suspek berusia 36 tahun itu bakal berdepan lima pertuduhan melibatkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 324 kerana mencederakan dua mangsa dalam kes tersebut.
Selain itu, dia turut dituduh mengikut Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencederakan seorang bayi berusia 11 bulan serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.
Media sebelum ini melaporkan suspek bertindak agresif apabila cuba melarikan diri selepas mencuri makanan laut sebelum menarik bayi daripada pelukan ibunya sambil memegang sebilah pisau.
Lelaki berkenaan bertindak sedemikian ketika percubaan melarikan diri bagi mengelak ditahan penyelia pasar raya dan pihak keselamatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman mengesahkan suspek direman bermula 10 Ogos lalu bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















