KUALA LUMPUR – “Sebagai pemimpin ARMADA yang mewakili anak-anak muda, YB Hilman Idham berhak untuk mengkritik Akta Hasutan”, kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Ketua Armada Bersatu itu berkata, Hilman juga mempunyai hak untuk membantah tindakan pihak berkuasa menahan beberapa pemimpin ARMADA di bawah Akta Hasutan.
“Pakatan Harapan berjanji menghapuskan Akta Hasutan. Kini apabila berkuasa, bukan sahaja Akta Hasutan tidak dihapuskan, malah mendakwa orang yang membantah akta tersebut.
“Inilah hipokrasi yang paling nyata. Bukan sahaja kebebasan bersuara tidak lagi dilindungi, malah undang-undang yang dahulunya dikatakan zalim kini dilindungi oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Muhyiddin mengulas mengenai kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu bakal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan susulan hantaran media sosial yang didapati menggugat ketenteraman awam.
Terdahulu, AGC dalam kenyataan medianya memaklumkan, selain Hilman, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Siti Hajar Aflah Sharuddin dan Chandrasegaran a/l Subramaniam akan didakwa di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















