KUALA LUMPUR – Lambakan ‘wartawan jadian’ yang hadir membuat liputan ketika sidang media kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menimbulkan kegusaran.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil berkata, pihaknya memandang serius situasi berkenaan yang dibimbangi akan mengganggu pengamal media menjalankan tugas.
“Menurutnya, SJA mengambil perhatian serius berhubung laporan gangguan yang berlaku semasa sidang media sebutan kes inkues Zara di mahkamah baru-baru ini.
“Terdapat individu yang tidak dikenali dan bukan dalam kalangan wartawan agensi media yang berdaftar turut berada bersama petugas media yang berkumpul untuk membuat liputan sidang media.
“Dua wartawan wanita mengadu kedudukan badan individu terbabit terlalu rapat sehingga menyentuh mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya penguatkuasaan yang lebih ketat dilaksanakan khususnya bagi melindungi wartawan yang bertugas.
Selain itu Mariah berkata, turut dikesan berlaku gangguan kandungan media demi meraih keuntungan sepanjang liputan kes tersebut.
Jelasnya, kawalan ketat di kawasan larangan seperti mahkamah perlu dilaksanakan termasuk larangan membuat rakaman sekiranya tidak dibenarkan, bagi mengelakkan gangguan terhadap media berdaftar.
“Terdapat individu bukan petugas media sebenar mengganggu semasa liputan kes ini dengan memasuki zon media dan membuat penstriman langsung yang sepatutnya untuk orang ramai, tapi dijadikan sebagai cara untuk memperoleh keuntungan wang,” tambahnya.
Dalam masa yang sama katanya, penyebaran maklumat salah semakin meluas berhubung kes tersebut khususnya melibatkan laporan tidak tepat mengenai prosiding undang-undang yang disebarkan secara meluas oleh sumber tidak disahkan.
“Akses kepada sidang media sepatutnya mengutamakan media berdaftar untuk memastikan laporan yang tepat,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa supaya semua pihak menghormati piawaian kewartawanan serta tuntutan undang-undang.
Pendakwaan terhadap lima remaja perempuan atas pertuduhan mengugut Zara Qairina Mahathir melalui komunikasi akan berlangsung esok di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah esok.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pendakwaan akan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan meskipun peguam keluarga Allahyarham memohon prosiding ditangguhkan buat masa ini. – MalaysiaGazette
















