Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM7,000.

BUTTERWORTH – Tindakan seorang penghantar kurier merompak seorang nenek bagi mendapatkan wang untuk membayar bungkusan cash on delivery (COD) syarikatnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Muhd Syahrul Syazlan Jailani, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik Salmiah Haroon, 71, iaitu seutas rantai emas yang terputus separuh serta wang tunai berjumlah RM31.

Dia didakwa melakukan kesalahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Bagan Lalang, Ladang Desa Tok Sani di sini pukulk 8.45 pagi pada 14 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed mencadangkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun dalam rayuan Muhd Syahrul Syazlan memohon belas ihsan mahkamah memberikan jaminan minimum dengan alasan isterinya baru selesai menjalani rawatan kimoterapi manakala ibunya pula mengalami masalah kesihatan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 23 September depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki ragut rantai nenek untuk bayar COD ditahan reman

Media pada Jumaat lalu melaporkan, seorang penghantar kurier direman enam hari bagi membantu siasatan kes ragut membabitkan seorang wanita berusia 70 tahun di Bagan Lalang di sini.

Kejadian berlaku pukul 8.45 pagi ketika mangsa sedang menyiram pokok bunga di hadapan rumah sebelum didatangi suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iriz kononnya untuk menghantar bungkusan secara COD.

Difahamkan, suspek bertindak demikian susulan duit pelanggan COD yang dipegangnya hangus dalam pelaburan forex dan perjudian dan dia melakukan samun itu bagi mendapatkan wang segera untuk menggantikan jumlah berkenaan kepada syarikat kurier. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast