KUALA LUMPUR -Mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul adalah lambang kecintaan kepada tanah air.
Jika kita benar-benar mengaku cintakan Malaysia maka kita wajib menghormati Jalur Gemilang sebagaimana kita menghormati ibu pertiwi.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail menegaskan, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang dikibarkan setiap kali tibanya bulan Ogos.

“Ia adalah simbol kedaulatan, maruah negara dan tanda perpaduan rakyat Malaysia. Oleh itu, cara pengibaran Jalur Gemilang mestilah dilakukan dengan penuh hormat dan mengikut tatacara yang betul.
“Saya mendesak agar setiap PBT (pihak berkuasa tempatan), jabatan kerajaan dan swasta bukan sahaja memastikan bendera dikibarkan tetapi juga mengedarkan risalah panduan rasmi kepada rakyat mengenai cara pengibaran Jalur Gemilang yang tepat,” ujarnya.
Menurut beliau, pendidikan sangat penting kerana masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu mengibarkan bendera dengan betul walaupun negara telah merdeka selama 68 tahun.
Selain itu, katanya, pemantauan oleh PBT mesti dipertingkatkan untuk memastikan setiap Jalur Gemilang yang dikibarkan adalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Tindakan segera perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai atau memandang ringan perkara ini.
“Namun, pendidikan dan pemantauan sahaja tidak mencukupi. Saya menggesa kerajaan menggubal undang-undang atau memperketatkan peraturan sedia ada dengan hukuman lebih berat terhadap mana-mana pihak yang lalai, cuai atau mengabaikan tatacara mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Tindakan tegas wajar kerana ia melibatkan maruah negara dan simbol kebanggaan kita bersama.- MalaysiaGazette
















