KUALA LUMPUR – Hampir RM1 bilion telah disalurkan kepada masyarakat India di negara ini sejak 2022, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau berkata, manfaat itu tidak termasuk peruntukan khas di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menurut, sejak Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah dilaksanakan, jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada masyarakat India telah meningkat secara konsisten.
“Tahun 2022 peruntukan yang kita mulakan untuk masyarakat India setengah bilion ringgit. Untuk 2025, tiga tahun berikutnya, sudah mencecah hampir satu bilion ringgit, RM972 juta.
“Jadi, kalau mengatakan bahawa bantuan masyarakat India itu khusus kepada MITRA itu tidak benar, RM1 bilion itu terkeluar daripada peruntukan MITRA,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan S Kesavan (PN-Sungai Siput) yang meminta menyatakan fokus Kerajaan Madani melalui MITRA atau lain-lain agensi dalam usaha untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, angka tersebut membuktikan dakwaan terhadap kerajaan perpaduan mengabaikan masyarakat India adalah tidak benar.
Beliau memberitahu, kerajaan juga telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan lain termasuk skim jaminan kredit perumahan, program pendidikan awal, subsidi pengajian tinggi, serta bantuan dialisis untuk pesakit B40.
“Kepada India itu RM1.2 bilion skim jaminan kredit perumahan, kemudian melalui belanjaan tahunan yang peruntukan program pembangunan sosiokonomi masyarakat India di bawah MITRA itu kita katakan RM100 juta.” tambahnya. – MalaysiaGazette
















