Hussein menunjukkan ruang simpanan tayar yang dijadikan tempat menyembunyikan dadah oleh sindiket.

MELAKA – Tindakan tiga tokan dadah menyembunyikan bahan terlarang itu dalam ruang simpanan tayar, bawah lantai kenderaaan dan kondominium terbongkar selepas kesemua mereka diberkas bersama dadah bernilai lebih RM4 juta, minggu lalu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek lelaki berusia 25 hingga 46 tahun termasuk seorang warga Pakistan itu diberkas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Melaka.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan ke atas kenderaan dinaiki dua suspek, iaitu warga tempatan dan Pakistan di pekarangan kondominium di Bukit Jalil sebelum menemukan sebanyak 26.73 kilogram (kg) dadah jenis ganja.

“Susulan itu pasukan membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominium terbabit dan berjaya membongkar stor tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah iaitu 68 kg ganja, 2.6 kg bunga ganja, 42 kg ketamin, 143 gram syabu serta 810 gram pil Erimin 5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Hussein (tengah) menunjukkan sebahagian daripada pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4 juta yang berjaya dirampas minggu lalu.

 

Tambahnya, serbuan kedua dilakukan di Ayer Molek dan seorang lelaki diberkas bersama-sama 18.2 kg heroin base disorok di dalam kereta dipandunya yang mana suspek dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ dadah.

Mengulas lanjut beliau berkata, secara keseluruhan menerusi tiga serbuan itu polis berjaya merampas 94.84 kilogram ganja, 2.58 kilogram bunga ganja, 42.23 kilogram ketamin, 143 gram syabu, 810 gram pil Erimin 5 dan 18.25 kilogram heroin base.

“Kesemua dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM4.16 juta yang mana jika terlepas ke pasaran, akan merosakkan hampir 2.82 juta individu.

“Ketiga-tiga suspek iaitu dua penjaga stor dan ‘transporter’ menerima upah antara RM1,000 hingga RM12,000 sebulan dan sindiket ini dipercayai aktir sejak April lalu,” tambahnya.

Menurut Hussein, modus operandi digunakan sindiket itu adalah menjadikan unit rumah kondominium sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dijual ke pasaran tempatan.

“Hasil saringan awal mendapati seorang suspek positif ganja selain dua suspek masing-masing mempunyai dua rekod jenayah dan satu rekod dadah.

“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga esok dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Polis turut menyita sebuah Toyota Estima bernilai RM70,000 serta merampas dua lagi kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi dan Toyota Estima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast