Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman perbelanjaan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) membabitkan kos RM8.4 juta untuk pembekalan lencana Jalur Gemilang.

Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, ia kerana hanya RM3 juta diperuntukkan untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama terpilih.

Kata Naib Pengerusi DAP Sarawak itu, sebagai seorang wakil rakyat, beliau menghormati keperluan simbolik seperti lencana yang membentuk identiti pelajar namun keutamaan sepatutnya diberikan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar yang menjadi asas suasana pembelajaran kondusif.

“Dalam keadaan negara berdepan isu keselamatan di sekolah seperti kes buli, pencerobohan luar, serta kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka, pemasangan CCTV seharusnya diberikan keutamaan.

“Banyak sekolah termasuk di kawasan luar bandar, tidak mempunyai sistem keselamatan yang lengkap dan guru tidak mampu mengawasi setiap sudut sekolah sepanjang masa.

“CCTV boleh membantu mengurangkan kes buli dan gengsterisme mencegah pencerobohan luar dan enyediakan bukti jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Sistem keselamatan yang berkesan bukan sahaja dapat menghalang kejadian tidak diingini, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa dan guru,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Mengulas lanjut, Mordi turut menggesa kerajaan menilai semula keutamaan peruntukan selain telus dalam pemberian kontrak kerana rakyat berhak tahu siapa yang mendapat manfaat daripada projek lencana itu.

“Pelan keselamatan sekolah yang menyeluruh  perlu utamakan seperti CCTV, pagar keselamatan, rondaan serta kerjasama komuniti ibu bapa.

“Saya akan terus mendesak supaya kerajaan menjelaskan isu ini secara terbuka di Parlimen kerana anak-anak kita tidak boleh dijadikan mangsa keutamaan yang salah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast