MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tidak dapat menahan sebak melihat sambutan luar biasa rakyat terhadap Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri Melaka hari ini.
Perasaan terharu itu jelas terpancar ketika beliau ditemui media sejurus selepas berakhirnya sambutan berkenaan di Dataran 1 Malaysia, Klebang, di sini.
Ab Rauf dilihat tidak dapat meneruskan sidang media apabila kata-katanya terhenti seketika sebelum beliau melambai ke arah orang ramai sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Melaka dan kemudian beredar.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Melaka yang telah bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka sejak tiga hari lalu.
“Bermula dengan Malam Melaka Berselawat, diikuti Ambang Merdeka malam tadi dan hari ini acara kemuncak, kita lihat ribuan rakyat Melaka datang.
“Terima kasih. Terima kasih Melaka,” katanya.
Sokongan rakyat mula dapat dilihat ketika raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung di dataran berkenaan, kelmarin.
Ia disusuli program Malam Melaka Berselawat yang menghimpunkan kira-kira 15,000 umat Islam di Dataran 1 Malaysia.
Kemeriahan berterusan apabila lebih 50,000 pengunjung membanjiri lokasi sama bagi menghadiri sambutan Ambang Merdeka malam tadi.
Sambutan itu mencapai kemuncaknya hari ini apabila rakyat sekali lagi memenuhi Dataran 1Malaysia bagi bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri Melaka.

Sementara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya menganggarkan kira-kira 150,000 pengunjung menghadiri keseluruhan program Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung sejak Sabtu lalu.
Menurut beliau, pengisian program yang menarik sepanjang tiga hari sambutan itu berjaya menarik perhatian bukan sahaja rakyat Melaka, malah pengunjung dari negeri lain.
“Penglibatan dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk jabatan serta agensi kerajaan memberi impak besar sehingga semua program yang diatur mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat dari dalam dan luar Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette
















