KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengesan individu menggunakan akaun TikTok ‘Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar’ yang menyamar pakar patologi dan membuat dakwaan terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan suspek terbabit bukan pakar patologi seperti yang didakwa.
“Suspek berjaya dikesan berhampiran kawasan Kota Damansara lewat malam tadi hasil maklumat daripada rakaman keterangan dua individu yang turut bersama dalam sesi siaran langsung akaun berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut suruhanjaya itu, selepas ditemui malam tadi, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi rakaman percakapan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dimana pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan, penyebaran maklumat palsu terutama yang menyentuh isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas adalah satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Pada 16 Ogos lalu, Polis dan MCMC memaklumkan sedang mengesan seorang individu yang mendakwa dirinya ‘pakar bedah’ kononnya terlibat dalam proses bedah siasat Allahyarham Zara Qairina baru-baru ini.
Individu itu menerusi siaran langsung di TikTok pada Rabu lalu memberi gambaran berbaur rumusah seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah.- MalaysiaGazette
















