Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar bercakap kepada pemberita selepas melakukan ziarah kasih ke rumah asnaf MAIWP di Kampung Petaling Bahagia, Jalan Puchong, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ziarah kasih asnaf bukan semata-mata untuk membantu golongan yang memerlukan, bahkan ia sepatutnya memberikan keinsafan kepada semua pihak bahawa masih ramai yang dibelenggu kesusahan dan miskin bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, ziarah kasih itu diharapkan mendatangkan kesedaran kepada semua pihak agar lebih bersyukur dengan nikmat yang diperolehi hari ini.

“Semoga ziarah kasih ini memberi keinsafan kepada kita, kalau kita tak tengok orang yang susah dan hidup sukar, kita tak nak terlampau selesa hingga kita tak tahu sebenarnya ramai lagi di luar sana orang lebih susah dan sukar daripada kita.

“Harapan saya secara peribadi supaya ia mendatangkan rasa syukur kepada diri kita.

“Firman Allah SWT, kalau kamu syukur, Allah akan tambah nikmat kamu, jika kamu kufuf nikmat Allah, nescaya azab Allah tu sangat-sangat pedih,” katanya kepada pemberita di di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan ziarah kasih ke tiga rumah penerima zakat di Kampung Petaling Bahagian, Jalan Klang Lama.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menyerahkan bantuan kewangan dan makanan kepada seorang asnaf yang menghidapi penyakit buah pinggang di Kampung Petaling Bahagia, Jalan Puchong, Kuala Lumpur.

Antara asnaf yang diziarah ialah seorang kakitangan swasta berusia 36 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 2013 dan memerlukan rawatan dialisis dengan kos RM4,000 sebulan atau RM50,000 setahun.

“Asnaf ini dibantu ketika masih bujang dan kini baru mendirikan rumah tangga, walaupun masih mampu bekerja, namun MAIWP bantu dia kerana pendapatan sebanyak RM2,223 hampir mustahil untuk menanggung kos rawatan ini.

“Ansaf ini telah disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat sejak Mac 2013 dan kini menjalani rawatan Haemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.

“Dia juga menerima bantuan suntikan Erythropoietin yang ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast