KUANTAN – Seorang doktor wanita berputih mata kerana mengalami kerugian RM468,000 setelah diperdaya skim pelaburan atas talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya berkata, mangsa berusia 55 tahun telah tertarik dengan sebuah iklan pelaburan di laman sosial Facebook pada 30 Mei lalu.
Menurut beliau, iklan tersebut mempromosikan skim pelaburan saham yang dikaitkan dengan nama seorang individu bergelar Dr. Adam Zubir dan dijanjikan dengan keuntungan lumayan antara 80% hingga 128% dalam tempoh sebulan.
“Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang suspek yang memperkenalkan diri sebagai Mavis, kononnya mewakili syarikat pelaburan antarabangsa, Nikko Asset Management yang berpangkalan di Singapura.
“Dipengaruhi janji tersebut, mangsa telah membuat 14 transaksi berjumlah RM468,000 ke dalam empat akaun bank berbeza dari 17 Jun hingga 6 Ogos 2025 menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya menerusi kenyataan.
Selepas pembayaran dibuat, mangsa hanya diberikan paparan keuntungan palsu melalui gambar yang dihantar oleh suspek.
Berdasarkan gambar tersebut, keuntungan yang kononnya diperolehi pengadu adalah berjumlah RM800,000 termasuk modal.
Tambah Yahaya, mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM152,725 sebagai cukai sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan tersebut.
Bagaimanapun mangsa mula berasa curiga dan enggan membuat bayaran lanjut.
“Hasil semakan mendapati bahawa Nikko Asset Management merupakan sebuah syarikat pengurusan pelaburan sah yang berpusat di Tokyo, Jepun dan mempunyai cawangan di beberapa negara lain.
“Nama syarikat tersebut telah disalahgunakan oleh scammer untuk memperdaya mangsa dalam kes penipuan pelaburan ini,” tambahnya.
Polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
Sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazette
















