Pegawai perubatan sedang menenangkan mangsa di dalam van kilang yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Gajah – Tanjung Tualang dekat Kampung Batu 3, Batu Gajah awal pagi Rabu. Foto ihsan JBPM Perak

BATU GAJAH – Dua cedera manakala tiga selamat dalam kemalangan membabitkan sebuah van kilang jenis Isuzu dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra di Jalan Batu Gajah – Tanjung Tualang dekat Kampung Batu 3, di sini awal pagi Rabu.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa cedera adalah dua lelaki, iaitu pemandu van kilang berusia 21 tahun, cedera di kaki manakala pemandu MPV berusia 65 tahun pula cedera di bahu.

Menurutnya, tiga penumpang wanita yang menaiki MPV tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah keluar sendiri dari kenderaan tersebut sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 6.06 pagi dan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketua operasi melakukan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) serta mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan dengan menstabilkan mangsa dalam van dan mengeluarkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.05 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast