Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat laporan polis terhadap hantaran di laman Facebook yang mengaitkan beliau dengan serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, selain itu beliau turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Facebook agar tindakan segera diambil terhadap laman, pengendali atau pemiliknya.

“Pada 18 Ogos 2025 (Isnin), Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkan saya dengan kejadian yang menimpa anak Dato’ Seri Rafizi serta skandal membabitkan sebuah syarikat swasta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Rafizi menafikan pembabitan Ismail Sabri dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kes serangan terhadap anaknya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.

Rafizi berkata, tindakan mengaitkan bekas Perdana Menteri dan Khairy adalah cubaan jahat mengalihkan perhatian.

Menurutnya, persoalan mengenai siapa dalang di sebalik serangan dan penghantar mesej yang memintanya berdiam mula timbul, malah beliau pernah mengesahkan ada berjumpa dengan pemberi maklumat mengenai skandal yang sedang ditelitinya seminggu sebelum serangan itu berlaku.

Menurut Ismail Sabri, keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baiknya.

Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook itu  serta pihak yang menyebarkan artikel terbabit.

Ismail Sabri berkata, beliau juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya
terhadap pihak terbabit.

“Terima kasih YB Dato’ Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan di atas penjelasan beliau hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast