Onn Hafiz (kiri) dan Tengku Zafrul merasmikan Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis MoUdi Invest Malaysia Facilitation Centre- Johor (IMFC-J) di Forest City, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, menepis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menakutkan pelabur dengan mengatakan negeri ini tidak dapat menyediakan bekalan air dan elektrik mencukupi sekiranya melabur.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan itu adalah satu fitnah dan tohmahan yang berniar jahat terhadap usaha kerajaan menarik masuk pelaburan antarabangsa khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Inisiatif yang dilakukan menggunakan pendekatan yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kemudahan yang terbaik kepada pelabur.

“Bukan itu sahaja, kita juga mewujudkan jawatankuasa khas yang membabitkan tiga Exco Kerajaan negeri membabitkan portfolio Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia; Infrastruktur dan Pengangkutan serta Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Jadi, bila ada syarikat yang ingin membangunkan pusat data di Johor, kita akan lihat dahulu dan jika tak cukup bekalan elektrik dan air, kita tak akan luluskan permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Invest Malaysia Facilitation Centre- Johor (IMFC-J) di Forest City, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir Pengarah Eksekutif MB World Group Berhad, Datuk Rohman Ahmad.

Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menggunakan bekalan air alternatif dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bagi memastikan air mencukupi.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai pelan jangka masa panjang melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030.

“Johor sangat serius untuk membawa masuk pelaburan ke negeri ini dan kita akan pastikan pelabur-pelabur yang memilih Johor akan berasa selamat kerana mempunyai bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

“Bagi pihak yang cuba menangguk di air keruh, saya harap mereka ini berhenti sahaja kerana yang kita nak bangunan bukan sahaja ekonomi Johor, bahkan turut memberi impak kepada negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast